assalamuhaikum!!terima kasih kerana datang ke blog unaromazi...

Rabu, 15 Februari 2012

Sang Kancil yang Sombong


 Sang Kancil yang pintar kini semakin dikenali ramai. Ke mana-mana sahaja dia pergi, pasti ada haiwan yang menegur dan mahu bergambar. Dia juga sering dijemput sebagai tetamu istimewa dalam majlis-majlis penting. Ramai haiwan-haiwan kecil sayang kepada Sang Kancil.
Rakan baiknya, Sang Siput, berasa gembira dengan kejayaan Sang Kancil. Dia selalu bercerita berkenaan kehebatan rakannya itu.
"Sang Kancil seekor haiwan yang bijaksana!"
Haiwan-haiwan lain yang mendengar, pasti mengangguk bersetuju. Mereka menepuk-nepuk cangkerang Sang Siput sambil mengucapkan tahniah.
Kata Sang Tupai, "Bertuah kamu mendapat sahabat seperti Sang Kancil."
Kata Sang Landak, "Tentu kamu banyak mendapat ilmu daripadanya."
Kata Sang Ikan, "Saya ingin menjadi bertuah seperti kamu."
Sang Siput hanya tersengih. Nampak beribu-ribu giginya. Dia kemudian berkata, "Nabi Muhammad berkata, berkawanlah dengan penjual minyak wangi. Walaupun kita tidak membeli minyak wangi itu, kita tetap akan dapat percikan harumannya."
Terkedip-kedip mata Sang Tupai. Dia bertanya, "Adakah Sang Kancil menjual minyak wangi? Jika begitu, saya mahu beli. Saya mahu jadi bijaksana sepertinya."
Ketawa Sang Siput mendengar kata-kata Sang Tupai. Dia menjawab, "Bukan begitu. Nabi Muhammad memberi perumpamaan sahaja. Maksudnya, apabila kita berkawan dengan orang baik-baik, kita juga akan dapat kebaikannya."
Sang Tupai, Sang Landak dan Sang Ikan mengangguk-angguk. Mereka tersenyum mendengar penjelasan Sang Siput itu.
Sang Ikan lalu berkata, "Kamu juga sudah semakin bijak. Tentu berkat bersahabat dengan Sang Kancil."
Mendengar itu, Sang Siput tersengih dan bersyukur kepada Tuhan.
Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Sang Kancil semakin sibuk. Semakin banyak permintaan dari kampung-kampung, mahu Sang Kancil bercerita kepada anak-anak haiwan di sana. Sang Siput juga ikut sibuk menguruskan jadual kerja Sang Kancil.
Suatu hari, tanpa disangka-sangka, berlaku satu perkara yang tidak diingini. Sang Kancil tertinggal buku ceritanya di rumah. Waktu semakin suntuk. Penduduk Kampung Kuning sudah menunggu mahu mendengar cerita Sang Kancil.
Dengan cemas, Sang Kancil berkata, "Siput, kamu perlu patah balik ke rumah dan ambil buku cerita saya. Saya perlu segera tiba di Kampung Kuning. Jika tidak, saya akan dianggap melanggar janji."
Sang Siput mengangguk dan berkata, "Baiklah, saya akan berpatah balik ke rumah sekarang juga."
Sambil berpeluk tubuh, Sang Kancil berkata, "Kamu perlu cepat. Saya tidak mahu tunggu di sana tanpa buku cerita terlalu lama."
Terangguk-angguk Sang Siput lalu membalas, "Baiklah, saya akan berusaha."
Dengan mengengsot-engsot, Sang Siput berpatah balik ke rumah. Sudah namanya siput, tidaklah dapat dia berjalan dengan laju.
Beberapa jam kemudian, dengan termengah-mengah, Sang Siput tiba di Kampung Kuning. Dia hairan melihat kampung itu lengang. Dia ternampak Sang Kancil duduk termenung sendirian.
Sebaik mendekati Sang Kancil, Sang Siput bertanya, "Ke mana mereka pergi? Tidak adakah yang mahu mendengar cerita kamu?"
Sang Kancil menjeling ke arah Sang Siput. Dia mencemik dan berkata, "Bukannya tidak ada. Tetapi kamu datang terlalu lewat! Mereka semua sudah pulang. Teruk saya dimarahi mereka kerana tidak dapat bercerita! Lembab!"
Wajah Sang Siput berubah. Dia hampir menangis mendengar kata-kata Sang Kancil.
"Maafkan saya! Saya sudah bergerak sehabis laju yang boleh. Maafkanlah saya, Sang Kancil yang bijaksana."
Sang Kancil memusingkan mata ke atas, dan terus berlalu pergi. Sang Siput menangis di situ.

Sejak hari itu, Sang Kancil tidak lagi bercakap baik-baik dengan Sang Siput. Setiap apa yang dilakukan oleh Sang Siput, pasti ada salahnya. Setiap hari Sang Siput disindir dan dimarah oleh Sang Kancil. Walaupun begitu, Sang Siput diam sahaja. Dia tetap menjalankan tugasnya sebagai pengurus Sang Kancil dengan baik.
Semasa mereka makan tengah hari, Sang Siput bertanya kepada Sang Kancil, "Semalam Sang Murai ada memberi sebotol berudu. Adakah kamu mahu makan lauk berudu?"
Sang Kancil menjeling tajam ke arah Sang Siput dan berkata, "Adakah saya kelihatan seperti seekor kancil yang suka makan berudu?"
Terkejut Sang Siput mendengar jawapan itu. Dia menundukkan wajah dan berkata perlahan, "Saya hanya bertanya. Sekiranya tidak mahu, cakap sahajalah tidak mahu."
Sang Kancil tidak mempedulikan keluhan Sang Siput.
Semasa mereka dalam perjalanan ke Kampung Daun, Sang Kancil bertanya, "Berapakah jumlah penduduk Kampung Daun?"
Sang Siput menjawab, "Saya tidak pasti. Kita belum pernah ke sana."
Sang Kancil mencemik dan berkata, "Apakah kamu tidak tahu bertanya?"
Terkebil-kebil Sang Siput lalu menjawab, "Maafkan saya. Mereka hanya menghubungi kamu. Jadi, saya tidak tahu, dengan siapa saya perlu bertanya?"
Mata Sang Kancil berpusing ke atas. Dia membalas, "Tentulah bertanya kepada Ketua Kampung Daun. Tidak mungkin bertanya kepada Ketua Kampung Pisang pula."
Sang Siput hanya diam.
Suatu petang, Sang Siput duduk termenung di tepi sungai. Wajahnya muram seperti kucing kematian anak. Sang Ikan datang menghampiri lalu bertanya, "Muram benar wajah kamu hari ini. Apa yang sudah berlaku?"
Sang Siput mengeluh. Dia berkata, "Sang Kancil sudah berubah. Dia tidak seperti dahulu lagi. Apa sahaja yang saya buat, pasti salah. Saya sekadar bertanya, pasti dimarah. Saya terasa dia menganggap saya bodoh dan tidak tahu apa-apa."
Ketawa Sang Ikan mendengar keluhan Sang Siput. Dia berkata, "Saya sudah lama perasan perkara ini. Semenjak dia menjadi semakin terkenal, Sang Kancil menjadi sombong. Dia fikir, dia sahaja yang pintar, kita yang lain semuanya bodoh. Mentang-mentanglah dia satu-satunya haiwan pintar dalam cerita rakyat Melayu. Habis kita yang lain dipandang rendah."
Air mata Sang Siput mengalir. Dia berkata, "Saya hairan, mengapa dia tidak boleh bercakap baik-baik? Mengapa dia asyik membuat memek muka meluat dan bercakap seolah-olah saya ini sangat bodoh? Saya hanya bertanya, adakah dia mahu makan berudu? Apakah tidak boleh dia sekadar menjawab 'tidak mahu'? Apa perlunya dia menyindir saya tidak mengenalinya sebagai haiwan yang tidak makan berudu?"
Sang Siput menyambung lagi, "Tempoh hari, kami sedang bercakap berkenaan jumlah penduduk Kampung Daun. Saya bertanya, siapa yang perlu saya hubungi? Dia menyindir saya mengatakan tentulah Ketua Kampung Daun, tidak mungkin Ketua Kampung Pisang. Apakah salah jika dia sekadar menjawab 'ketua kampung'. Saya tidak begitu bodoh, sehingga mahu menghubungi Ketua Kampung Pisang bagi bertanya berkenaan jumlah penduduk Kampung Daun. Saya juga tahu berfikir. Saya hanya mahu tahu, adakah perlu hubungi ketua kampung, atau setiausaha JKKK, atau tok siak masjid? Itu sahaja. Mengapa dia perlu menyindir saya sebegitu rupa?"
Menggeleng-geleng Sang Ikan. Dia berkata, "Sang Kancil ini sudah melampau. Dia fikir dia sahaja yang pintar, sehingga membodoh-bodohkan orang lain, walaupun sahabat baiknya sendiri! Memang sudah melampau!"
Sang Siput mengesat air mata di tentakelnya dengan daun kering. Dia berkata, "Saya sedar, saya lembab dan tidak sepantas dia. Tetapi Tuhan tidak jadikan saya sebagai haiwan yang bodoh. Memang hati saya terguris begitu dalam. Sudah berminggu-minggu, saya masih terkenang-kenang apa yang dia cakap kepada saya. Saya boleh terima teguran atas kesilapan yang saya lakukan dengan lapang dada. Tidak perlu menyindir-nyindir saya."
Kemudian Sang Siput menarik nafas panjang. Dia menyambung, "Tidak mengapalah, buruk bagaimanapun, dia sahabat saya. Saya tidak akan memutuskan persahabatan kami. Saya maafkan dia. Saya berdoa dia segera sedar, dan tidak lagi menyakitkan hati orang lain."
"Sabarlah, kawan," kata Sang Ikan, "orang sombong pasti diajar oleh Tuhan. Satu hari nanti dia akan dapat balasan setimpal. Apa yang kita beri, pasti kita akan dapat semula. Itu janji Tuhan kepada kita."
Sang Siput mengeluh dan menggeleng kepala. Dia berkata, "Dia tidak mahu menerima nasihat saya. Jadi, saya tidak akan menasihatinya. Cukuplah, saya tidak mahu membantunya lagi. Dia seekor haiwan yang pintar, pasti semuanya dia dapat buat sendiri. Saya reda."
Semakin hari, semakin menjadi-jadi kesombongan Sang Kancil. Sang Siput menjauhi diri daripada Sang Kancil. Dia tidak mahu lagi berada dekat tetapi mengumpat Sang Kancil di belakang. Kini dia hanya mendoakan sahabatnya itu dari jauh. Dia berharap Sang Kancil segera sedar kesilapannya, dan berfikir sebelum bercakap.
Sesungguhnya kebijaksanaan kita hanyalah secebis pinjaman daripada Tuhan. Ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa. Semua orang ada kepandaian masing-masing. Tidak perlu kita merendah-rendahkan sesiapa, dan membuat kesimpulan seseorang itu bertanya kerana dia bodoh dan tidak sebijak kita. Allah Maha Bijaksana dan Maha Berkuasa lagi Maha Adil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan